[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN MEDIA AL HIZBUL ISLAMI UK & EIRE

Date: 11 Sep 1999
Time: 19:16:38
Remote User: -

Comments

KENYATAAN MEDIA AL HIZBUL ISLAMI UK & EIRE KONSPIRASI MEMBUNUH DATO SERI ANWAR IBRAHIM: TUBUH SURUHANJAYA DIRAJA UNTUK SIASATAN

Al Hizbul Islami UK & Eire (HIZBI) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba membunuh Dato Seri Anwar Ibrahim dengan cubaan meracun beliau dengan menggunakan bahan kimia arsenik.

Ini adalah berdasarkan laporan patologi air kencing beliau yang dibuat di Gribbles Pathology, Melbourne Australia menunjukkan bahawa kandungan bahan kimia arsenik di dalam tubuh beliau berada pada kadar 77 kali ganda berbanding tahap biasa.

HIZBI memandang serius laporan tersebut dan dengan ini mendesak kerajaan agar segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kejadian tersebut. HIZBI juga mendesak agar Suruhanjaya tersebut diletakkan di bawah pengawasan Parlimen untuk memastikan kebebasan badan tersebut.

HIZBI berkeyakinan bahawa cubaan membunuh ini adalah ekoran pendedahan demi pendedahan mengenai penyelewangan kuasa dan wang rakyat oleh pemimpin-pemimpin tertentu yang dibuat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

HIZBI ingin menegaskan bahawa siasatan mestilah dibuat tanpa mengira pangkat dan kedudukan termasuklah ke atas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri yang juga selaku Menteri Dalam Negeri, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Penjara serta semua yang terlibat di dalam cubaan menamatkan karier politik beliau.

Kepada Dato Seri Anwar Ibrahim dan keluarga, HIZBI berharap agar mereka terus bersabar dan bertawakkal kepada Allah swt serta mendoakan semoga Allah swt terus memelihara keselamatan beliau dan keluarganya.

Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, Naib Presiden, Al Hizbul Islami UK & Eire.


Last changed: September 11, 1999