[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Dia Terlupa Kes Mokhtar Dan Mona Fandy

Date: 11 Sep 1999
Time: 19:34:12
Remote User: -

Comments

MEMBUNUH KERANA POLITIK BUKAN BUDAYA M'SIA, KATA DR M

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, bukan budaya negara ini untuk membunuh seseorang kerana fahaman politiknya.

" Ini adalah sesuatu yang bukan menjadi budaya negara kita. Tak ada orang yang dibunuh kerana fahaman politik mereka," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Presiden Parti Keadilan Nasional Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail bahawa ada cubaan untuk meracuni suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah Tinggi di sini semalam menangguhkan perbicaraan kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagi membolehkannya menjalani pemeriksaan perubatan setelah peguam belanya, Karpal Singh mendakwa Anwar mengalami keracunan arsenik.

Dr Mahathir berkata ini adalah kali pertama orang membuat tuduhan bahawa kerajaan cuba membunuh seseorang.

Yang kita hairan mengapa baru mereka (peguambela Anwar) kemukakan laporan (hasil ujian contoh air kencing Anwar dari Melbourne) ke mahkamah sedangkan laporan itu telah lama sampai kepada mereka, kata Perdana Menteri pada persidangan berita selepas menamatkan lawatan dua harinya ke Wilayah Persekutuan di sini.

Menurut Azizah semalam, contoh air kencing Anwar telah dihantar ke Makmal Patologi Gribbles di Melbourne pada 18 Ogos dan keputusan ujian itu diterima pada 26 Ogos lepas.

Dr Mahathir sebelum itu berucap pada majlis jamuan tengah hari Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan yang dihadiri lebih 2,000 orang di Menara PGRM di Cheras, di sini.

Dr Mahathir berkata jika seseorang itu diracuni sudah tentu dia (yang diracuni) akan tergesa-gesa pergi ke hospital untuk mengubatinya.

"Tapi nampaknya mereka sedia tunggu 14 hari baru nak beritahu dan mengesahkan bahawa dia diracuni."

"Kalau saya kena racun hari ini, hari ini juga saya pergi ke hospital meminta pihak hospital membersihkan segala isi perut saya supaya dikeluarkan racun dan memasukkan ubat anti-racun dan sebagainya," katanya.

Bila ditanya bagaimana air kencing Anwar boleh dibenarkan dibawa keluar daripada penjara untuk kajian hingga ke Australia, Dr Mahathir berkata, "itu saya tak tahu, itu kena tanya dia orang."

Ditanya adakah kemungkinan ini berlaku kerana kelemahan dalam sistem penjara, beliau berkata, "saya tak tahu mungkin air kencing orang lain, mungkin dia makan di mahkamah, di penjara, macam-macam orang beri makan sebab kita beri layanan yang luar biasa dan kelonggaran kepadanya (Anwar)."

Dr Mahathir berkata, tidak ada orang lain yang sedang dibicarakan dibenarkan makan dalam mahkamah tetapi Anwar dibenarkan dan beliau juga dibenarkan bercakap dengan pemberita.

Ditanya kenapa Anwar diberi layanan istimewa sedangkan banduan lain tidak sedemikian, Mahathir berkata: "Itu saya tidak tahu, barangkali mereka takut dunia akan mengatakan kita tak adil, kita tekan, tahulah ada pemberita asing dan mereka selalu meminta pertolongan orang asing."

Beliau berkata pihak yang berkenaan itu suka memburuk-burukkan negara ini yang juga merupakan negara mereka sendiri.

Mengenai perjumpaannya dengan Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan pagi ini, Perdana Menteri berkata beliau telah mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan isu-isu yang dihadapi oleh parti selain menerangkan mengenai soal-soal ekonomi dan politik.

Umno Wilayah Persekutuan sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya dan telah menggerakkan jentera pilihan rayanya termasuk mendekati para pengundi, katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir meminta semua pemimpin parti komponen Barian Nasional (BN) di Wilayah Persekutuan supaya bekerjasama, termasuk dengan menggunakan kemudahan Umno jika perlu, untuk membentuk satu jentera berkesan bagi memastikan kemenangan besar BN pada pilihan raya nanti.

Semua pemimpin BN perlu mengatur strategi termasuk mewujudkan bilik gerakan bagi berkempen tanpa menunggu sehingga pengumuman calon dibuat.

"Siapa juga menjadi calon ialah orang BN. Jadi kita perlu memberikan kemenangan kepada mereka," kata beliau.

Dr Mahathir, bagaimanapun, yakin parti-parti komponen BN akan menyokong sesiapa juga calon BN yang bertanding di kawasan mereka.

"Bila kita pilih calon, muka mereka tak nampak lagi. Yang kita nampak cuma dacing, itulah muka semua calon BN," katanya.

Perdana Menteri berkata, hasil usaha BN, Kuala Lumpur kini membangun dengan pesat sehingga menjadi bandaraya menarik serta mempunyai bangunan-bangunan pencakar langit, dan dikatakan sebagai sebuah bandar tercantik di dunia oleh pelancong asing.

Dr Mahathir juga yakin rakyat tidak akan menyokong pakatan parti-parti pembangkang yang hanya wujud menjelang pilihan raya.

Berbeza dengan BN yang ditubuhkan untuk melaksanakan agenda ekonomi dan sosial masyarakat pelbagai kaum di negara ini, parti lawan nampaknya mempunyai matlamat masing-masing yang berbeza bahkan bertentangan dalam membentuk pakatan, bertujuan menjatuhkan BN, katanya.

Sementara PAS ingin menegakkan sebuah negara Islam, parti Keadilan pula berusaha membebaskan Anwar, sementara DAP pula cuba memperjuangkan konsep `Malaysian Malaysia'nya.

"Inilah parti-parti yang cuba hendak meniru BN tapi kita tahu bahan tiruan ini kualitinya koman (rendah)," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, BN, yang akan menyambut ulangtahun ke-25 tidak lama lagi, ialah sebuah parti yang wujud tanpa mengira sama ada pilihan raya diadakan atau tidak.

Dr Mahathir juga berkata sejak penubuhan BN, ia sedikit demi sedikit berjaya merapatkan hubungan antara penduduk pelbagai kaum dan agama negara ini sehingga mereka berasa senang untuk hidup dan bekerja sesama mereka.

Berbeza dengan BN, beliau berkata parti lawan cuba memecahbelahkan hubungan antara penduduk termasuk dengan dakwaan wujudnya lebih banyak gereja daripada masjid di Melaka.

Pada majlis itu juga, Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Tamunif Mokhtar mengetuai bacaaan ikrar untuk menyatakan sokongan kepada pucuk pimpinan BN.

Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob, Setiausaha Agung BN Datuk Mohamed Rahmat serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan BN Wilayah Persekutuan Datuk Dr Suleiman Mohamed.

-- BERNAMA


Last changed: September 11, 1999