[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Janji Lawan

Date: 11 Sep 1999
Time: 19:37:25
Remote User: -

Comments

PENCALONAN INISIATIF WANITA SEDIA CALON UNTUK PILIHAN RAYA

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Pencalonan Inisiatif Wanita (WCI), sebuah pertubuhan bebas yang baru dibentuk hari ini, mengumumkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Calon yang dipilih, Zaitun Kassim, 32, iaitu naib presiden WCI dan jurucakap utama bagi Persatuan Bertindak Semua Wanita (Awam), mempunyai 10 tahun pengalaman dalam gerakan sosial bagi membasmi kemiskinan, isu-isu wanita, hak asasi manusia dan pembangunan mampan, kata jurucakap WCI, Sri Husnaini Sofyan pada pelancaran pertubuhan itu.

Perlunya bertanding dalam pilihan raya itu dibuat berdasarkan fakta bahawa meskipun 54 peratus pengundi di negara ini terdiri daripada wanita, hanya 11 sahaja wanita mempunyai tempat di Parlimen dan WCI percaya bahawa semua isu berkaitan ketidakadilan sosial dan hak wanita, adalah isu wanita," kata seorang lagi ahli WCI, Irene Xavier.

"Kami mahu sebuah negara yang mengamalkan dasar persamaan dan keadilan dengan kuasa pembuat dasar, kekayaan negara, kerja dan tanggungjawab dikongsi bersama antara lelaki dan wanita," kata Irene.

Objektif WCI adalah bagi meningkatkan kesedaran wanita mengenai hak dan keperluan wanita mengenai sikap saksama, dasar dan undang-undang bagi mempromosi penyertaan wanita dalam membuat keputusan dan bagi menyokong wanita mendapat kedudukan dalam membuat dasar dan dalam kerajaan, katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Zaitun berkata beliau akan berusaha mengekalkan objektif dan manifesto WCI walaupun terpaksa menentang kerajaan atau parti-parti alternatif lain.

Menurutnya beliau belum memutuskan kerusi yang akan ditandingi, tetapi memberi gambaran jelas kawasan itu di Lembah Klang.

Antara lain manifesto WCI membabitkan kerja bagi mempromosi kesedaran kepada rakyat Malaysia terutama wanita mengenai hak dan kuasa dalam melaksanakan proses demokrasi dalam pilihan raya dan perwakilan dalam Parlimen.

"Kami juga akan berusaha memansuhkan semua undang-undang yang menindas dan menghalang hak-hak demokratik rakyat Malaysia serta mengkaji semula semua dasar dan undang-undang yang mendiskriminasikan wanita termasuk sistem Mahkamah Syariah," kata Zaitun.

Ketika ditanya sama ada WCI akan bekerja rapat dengan Barisan Nasional, Zaitun berkata mereka akan bekerja rapat dengan sesiapa sahaja yang menyokong manifesto persatuan itu tanpa mengira parti.

"Jika mereka (parti politik) bersungguh-sungguh menyokong manifesto dan isu-isu wanita yang kita perjuangkan, saya rasa mereka patut melepaskan kerusi tanpa bertanding," katanya.

-- BERNAMA


Last changed: September 11, 1999