[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

RAFIDAH PERSOAL PEMILIHAN MASA DAKWAAN MENGANAI KERACUNAN ARSENIK ANWAR

Date: 11 Sep 1999
Time: 19:42:16
Remote User: -

Comments

RAFIDAH PERSOAL PEMILIHAN MASA DAKWAAN MENGANAI KERACUNAN ARSENIK ANWAR

Daripada Mikhail Raj Abdullah

Auckland, 11 Sept (Bernama) -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dn Industri Datuk Seri Rafidah Aziz mempersoalkan sama ada para peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim berniat jahat semasa membuat dakwaan beliau menghidapi keracunan arsenik di saat para pemimpin Apec memulakan mesyuarat di sini.

Rafidah berkata mungkin ada niat jahat dengan membuat dakwaan itu pada masa ini sedangkan para peguam bekas timbalan perdana menteri itu telah mengetahui perkara berkenaan lama sebelum ini.

"Di sini kita sangat musykil dan hairan kenapa agaknya satu insiden yang telah berlaku pada 26 Ogos, hanya diberi perhatian oleh pihak Anwar dan peguamnya semasa Apec berlaku, iaitu ketika semua media dunia bertumpu di New Zeland, pemimpin dunia bertumpu dan badan-badan bukan kerajaan dunia (NGO) bertumpu di sini.

"Adakah ia mempunyai muslihat politik?" katanya apabila diminta mengulas mengenai perkara itu oleh para wartawan yang membuat liputan mesyuarat Forum Kerjasama Asia-Pasifik (Apec) di sini hari ini.

"Saya sendiri sangat terkejut apabila lewat petang semalam telah ditanya oleh media bahawa kononnya Anwar Ibrahim dibawa ke hospital dan didapati terdapat tahap arsenik yang tinggi dalam badannya.

"Saya sendiri tidak tahu hal itu dan pagi ini dapat laporan akhbar, barulah nyata keadaan sebenarnya iaitu hendak menunjukkan seolah-olah kerajaan Malaysia benar-benar hendak menyingkirkannya bukan sahaja daripada politik (tetapi) daripada dunia.

"Ini adalah satu niat jahat," kata Rafidah.

Peguam Anwar, Karpal Singh dalam perbicaraan kes liwatnya semalam membangkitkan bahawa Anwar disyaki mengalami keracunan arsenik selepas hasil ujian patalogi mengesahkan kandungan arsenik dalam contoh air kencing Anwar lebih tinggi daripada kadar biasa dalam tubuh seseorang.

Berikutan itu perbicaraan semalam ditangguhkan oleh Hakim Datuk Arifin Jaka untuk membolehkan Anwar menjalani pemeriksaan di Hospital UKM, Cheras.

Rafidah berkata: "Pada pendapat saya, logiknya kalau Anwar benar-benar menghadapi sakit perut, cirit-birit kerana makanan mempunyai unsur-unsur negatif seperti keracunan, mengapa tidak waktu hari sakit itu juga dikeluarkan berita dia sakit perut, muntah-muntah atau cirit-birit dan hari itu juga laporan hospital ditunjukkan apakah sebabnya dia sakit perut dan muntah.

"Dan ditunjukkan apakah elemen yang ada dalam makanan yang dimakannya, sama ada makanan dalam tempat tahanan atau yang dibawa oleh keluarga atau sebagainya," kata Rafidah.

Katanya beliau melihat perkara itu memang sengaja didedahkan agak lama selepas perkara itu berlaku dengan mengeluarkan hasil ujian contoh air kencing yang diuji di luar negara di bawah nama orang yang lain.

Rafidah berkata: "Jadi ini seolah-olah ada satu perancangan yang sengaja dibuat, saya rasa niat jahat seperti ini kita boleh agak akan terus berlaku kerana tentu sekali beliau (Anwar) dan rakan-rakanya ingin mendapat modal politik sebanyak mungkin dari semasa ke semasa terutama apabila ada fokus perhatian dunia dalam mana-mana acara."

Kalau di Apec orang ramai, maka di Apeclah disebarkan berita, katanya.

"Jadi inilah pada pendapat saya menunjukkan peribadi sebenar orang yang digelar Anwar Ibrahim itu, galerinya ialah dunia dan bukan tumpuan dan pertimbangannya kepada negara dan masyarakat kita sendiri," kata Rafidah.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Naib presiden Gerakan, Dr S. Vijayaratnam berkata jika terbukti perkara itu dilakukan, mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

Vijayaratnam, bagaimanapun berkata perkara itu perlu dipertimbangkan jika ia sengaja diada-adakan untuk mendapatkan simpati.

"Jika ini yang berlaku, ia memang dilakukan dengan niat untuk merosakkan nama baik kerajaan, dan perbuatan itu harus dikutuk," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Para pemimpin pembangkang lain pula meminta supaya ditubuhkan satu panel siasatan bebas atau suruhanjaya diraja bagi memastikan mengapa terdapat tahap arsenik yang tinggi dalam contoh air kencingnya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai harus mencadangkan secara rasmi kepada Perdana Menteri dan timbalannya bagi menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja kedua ditubuhkan bagi menyiasat kes itu.

Timbalan presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar, berkata pabel bebas itu harus merangkumi pakar perubatan dan perundangan serta anggota masyarakat tertentu.

Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr Syed Husin Ali, berkata memandangkan Anwar telah dimasukkan ke hospital, satu suruhanjaya diraja perlu segera dibentuk jika hasil ujian baru membuktikan keputusan dari Melbourne itu.

-- BERNAMA


Last changed: September 11, 1999