[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

PAS DAKWA KU LI PENTINGKAN AGENDA POLITIK PERIBADI

Date: 11 Sep 1999
Time: 19:43:35
Remote User: -

Comments

PAS DAKWA KU LI PENTINGKAN AGENDA POLITIK PERIBADI

KOTA BAHARU, 11 Sept (Bernama) -- PAS menganggap Tengku Razaleigh Hamzah hanya mementingkan "agenda politik peribadinya" apabila menolak permintaan kerajaan Kelantan supaya beliau menjadi orang tengah bagi membolehkan kerajaan pusat melupuskan baki hutang Kelantan berjumlah RM550 juta.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Husam Musa berkata Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu tidak wajar menjadikan rakyat Kelantan sebagai korban dalam perhitungan politik peribadinya dengan kerajaan Kelantan PAS.

"Kenyataan Tengku Razaleigh itu menguatkan tanggapan orang ramai, terutama di Kelantan bahawa beliau hanyalah suara guruh yang tidak membawa hujan dan bunyi gendang yang hanya bising tetapi tidak membawa sebarang makna," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam Tengku Razaleigh berkata beliau tidak sanggup menjadi orang suruhan PAS bagi mengatasi bebanan dan masalah hutang kerajaan Kelantan kepada kerajaan pusat.

Tengku Razaleigh berkata sewajarnya PAS menyerahkan sahaja pentadbiran negeri kepada Barisan Nasional setelah parti itu gagal menguruskan pembangunan ekonomi Kelantan. -- BERNAMA


Last changed: September 11, 1999