[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Reformasi Diteruskan di Kg Baru & HUKM Cheras

Date: 12 Sep 1999
Time: 21:01:56
Remote User: -

Comments

Reformasi Diteruskan di Kg Baru & HUKM Cheras (laporan terkini reformasi Sabtu 11 September 1999) Oleh Fathi Aris Omar [e-mel: wanparis@yahoo.com]

Selepas orang ramai bersurai dari Masjid Negara, sebelum dan selepas sembahyang Asar, kira-kira jam 5 petang, laungan reformasi berkumandang di Masjid Kg Baru pula. Begitu juga di beberapa tempat di Central Market dan Masjid Jamek -- tetapi tidak lama sebab kehadiran pihak berkenaan begitu ramai. Seorang pegawai polis dikatakan telah ditumbuk oleh seorang yang mendakwa penyokong reformasi.

Keadaan perhimpunan reformasi di masjid Kg Baru terputus-putus akibat kehadiran pihak polis & FRU. Sekejap ada, sekejap bersurai. Begitulah beberapa kali.

Sebelum sembahyang Isyak, suasana itu masih ada. Begitu juga selepas sembahyang Isyak. Sehinggalah pegawai polis meminta orang ramai bersurai sekitar jam 9:30 malam.

Sementara itu, saya mendapat maklumat, selepas sembahyang Isyak, beberapa ratus orang penyokong reformasi berkumpul di depan (luar pagar) Hospital UKM di Cheras. Pihak polis mengawal keadaan dari dalam kawasan berpagar HUKM. Sebanyak lima kali pihak polis & FRU meminta orang bersurai. Pada kali kelima, sekitar jam 11 malam, saya dimaklumkan tiga orang ditahan polis; seorang wanita dan dua orang lelaki.

Momentum reformasi sedang meningkat di Lembah Kelang, khususnya apabila semakin ramai orang mengetahui cerita lanjut "Anwar Diracun" (tajuk depan Harakah). Dijangkakan suhu politik meningkat juga di seluruh negara. Rakyat tidak lagi mempercayai Mahathir dan menteri-menterinya yang membuat kenyataan karut-marut sebelum mengetahui lebih lanjut. Ulasan mereka berbau prasangka dan lucu pula.

Sementara itu, selepas sembahyang Zohor semalam, perhimpunan reformasi bergerak dari Masjid Negara ke Istana Negara, perhentian Bas Klang, Daya Bumi dan akhirnya berpatah semula Masjid Negara. Pertemuan ini mendapat bilangan di luar dugaan. Sekurang-kurangnya 5,000 orang telah hadir menyatakan sokongan, termasuk 50 peratus daripada kumpulan itu mereka yang sudah berusia dan berkeluarga, membawa bersama anak-anak mereka merentasi kesibukan hujung minggu di tengah kota. Nota: Walaupun ada yang tidak larat, lambat dan tertinggal tetapi reformasi tetap reformasi.

Hujan dan suasana lembab (hampir semuanya tidak berpayung!) dalam perarakan 3-4 kilometer itu tidak menjadi halangan. Nampaknya bukan suhu politik meningkat, suhu hati pun meningkat juga!

Bagaimanapun, tempoh perarakan itu hanyalah selepas Zohor sehingga Asar sahaja. Selepas Asar, tidak ada perarakan lagi di tengah-tengah ibu kota.

Polis dan FRU berada hampir di setiap penjuru ibu kota. Mereka berada di Pasar Budaya, 4 lori biru, selain di Dataran Merdeka dan beberapa tempat lain.

Sementara itu, perarakan yang bercadang mengirim memorandum ke Istana Negara tidak dapat disempurnakan apabila lori pancutan air asid dan beberapa lori lagi sudah siap bersedia menunggu di lebuh raya di depan istana.

Apabila orang ramai bergerak ke depan Perhentian Bas Klang, pihak FRU bergerak dari arah belakang, sementara satu pihak lagi dari arah Hong Kong & Shanghai Bank menuju ke arah Pasar Budaya. Oleh sebab itu, kumpulan beribu-rubu orang itu terpaksa berpatah ke Masjid Negara melalui bangunan Dayabumi.

Mereka tidak melalui City Point (bersebelahan Dayabumi) kerana pihak berkuasa dilaporkan sudah bersiap sedia. Bagaimanapun, perhimpunan dan perarakan itu berjalan lancar, aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Perhimpunan kali ini boleh dianggap paling berjaya kerana sebelum ini, tidak pernah berjaya jika ada panggilan berkumpul selepas Zohor, khususnya di Masjid Negara mahu pun di beberapa lokasi lain. Penyokong reformasi selalunya berminat berkumpul pada sebelah petang di beberapa tempat di tengah ibu kota. Dan jika "gian" belum habis, berlarutan ke waktu malam, ada kalanya melebihi jam 10 malam.

Namun, setelah berbulan-bulan tanpa sebarang perhimpunan reformasi (kerana semuanya beri perhatian ke arah pilihan raya), sudah dua minggu berturut-turut perhimpunan reformasi berjaya menggegarkan Lembah Kelang. Sabtu depan ada lagi ke?


Last changed: September 12, 1999