[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kenyataan Media Parti Rakyat Malaysia

Date: 12 Sep 1999
Time: 21:11:54
Remote User: -

Comments

Kenyataan Media Parti Rakyat Malaysia Oleh Hassan Karim Naib Presiden PRM, merangkap Ketua Penerangan

Kes Anwar Ibrahim Diracun: PRM Tuntut Suruhanjaya Diraja Siasat

Timbalan Perdana Menteri(TPM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan telah mengarahkan penubuhan sebuah pasukan bagi menyiasat kes Datuk Seri Anwar Ibrahim diracun. PRM mengalu-alukan tindakan segera TPM itu. Tetapi pasukan penyiasatan yang ditubuhkan atas arahan TPM itu tidak memadai.

Rakyat mahukan siasatan yang menyeluruh, bebas dan telus. Rakyat mahukan sebuah Suruhanjaya Diraja menjalankan siasatan yang bebas dan terperinci. Pasukan siasatan yang TPM tubuhkan itu adalah pasukan siasatan yang terdiri daripada para pegawai Kementerian Dalam Negeri. Ini tidak memadai.

Rakyat masih ingat lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dicederakan di muka dan matanya semasa dalam tahanan Lokap Polis di Bukit Aman, satu pasukan penyiasatan yang terdiri daripada pegawai-pegawai polis telah ditubuhkan. Tetapi pasukan penyiasatan polis itu gagal mengenalpasti siapa penyerang yang mencederakan Anwar Ibrahim. Kenapa tidak dapat dikenalpasti? Kerana penyerang itu adalah bekas Ketua Polis Negara(KPN) sendiri, Tan Sri Abd Rahim Noor.

Sehinggalah apabila penyiasatan kecederaan itu dilakukan oleh Suruhanjaya Diraja barulah bekas KPN itu mengaku di dalam mahkamah terbuka bahawa dia menyerang Anwar Ibrahim.

Jadi kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Kita mahukan Suruhanjaya Diraja menyiasat dengan bebas, teliti dan berani. Kebenaran mesti ditegakkan. Kita mahukan penyiasatan terbuka. Kita mahu Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan bekas Menteri Dalam Negeri dulu (ketika Anwar Ibrahim ditahan pada 20 September 1998) serta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, TPM dan Menteri Dalam Negeri sekarang dihadapkan ke muka Suruhanjaya Diraja untuk disoal siasat. Hal ini kerana pasukan polis (PDRM )dan juga Jabatan Penjara adalah terletak di bawah bidang kuasa mereka berdua, dulu ( Mahathir) dan sekarang (Abdullah).

Suruhanjaya Diraja ini mesti ditubuhkan segera. Kebenaran mesti ditegakkan. Keluhuran undang-undang (rule of law) mesti diamalkan. Keadilan bukan saja mesti dijalankan tetapi mesti jelas kelihatan dilaksanakan.

11 September 1999


Last changed: September 12, 1999