[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN MEDIA 12 SEPTEMBER 1999

Date: 12 Sep 1999
Time: 21:50:03
Remote User: -

Comments

KENYATAAN MEDIA 12 SEPTEMBER 1999

PERDANA MENTERI BERBANGGA DENGAN SOKONGAN PALSU DI UKM

Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan sambutan hangat yang diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa lawatan beliau ke UKM adalah satu sokongan palsu yang sengaja diada-adakan.

Propaganda murahan Dr. Mahathir berterusan dengan memperalatkan UKM dan mahasiswa semata-mata untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau masih mendapat sokongan mahasiswa. Hakikat sebenarnya ialah mahasiswa terpaksa hadir dalam keadaan tertekan kerana arahan pihak universiti. Mahasiswa takut akan dikenakan tindakan sekiranya mereka tidak hadir dalam majlis bersama Dr. Mahathir. Mahasiswa juga tidak boleh menampilkan watak penentang kerana mereka diawasi sepanjang masa semasa dalam majlis tersebut.

Adalah tidak wajar Dr. Mahathir yang hadir ke UKM dengan segala kekuasaan dan tekanan ke atas mahasiswa mendakwa beliau mendapat sokongan mahasiswa tanpa kehadiran pemimpin dari Barisan Alternatif untuk dilihat sebagai perbandingan. Dr. Mahathir sepatutnya hadir dalam majlis forum atau debat yang bebas berhadapan dengan pemimpin Barisan Alternatif di hadapan mahasiswa barulah boleh beliau mengukur sokongan sebenar mahasiswa ke atasnya.

Justeru itu Dewan Pemuda PAS Pusat mencabar Dr. Mahathir dan mana-mana pemimpin Umno/BN untuk berforum atau berdebat di hadapan mahasiswa menjelaskan pendapat masing-masing untuk dinilai oleh mahasiswa.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Last changed: September 12, 1999