[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Bila rakyat racun kamu baru kamu tahu.

Date: 12 Sep 1999
Time: 23:10:06
Remote User: -

Comments

ANWAR PATUT DIMINTA JELASKAN KELEWATAN UMUM UJIAN AIR KENCING

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Lim Ah Lek, menyaksikan upacara melafaz ikrar oleh ahli jawatankuasa MCA bahagian Bandar Tun Razak pada perasmian bangunan MCA bahagian tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pasukan yang menyiasat dakwaan Datuk Seri Anwar bahawa beliau diracuni arsenik mesti menyoalnya mengenai kelewatan membuat pengumuman, 14 hari selepas menerima laporan ujian air kencing dari Australia, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik.

Menurutnya sementara menunggu hasil ujian Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengesahkan dakwaan Anwar, pihak berkuasa patut menghubungi semua hospital dan makmal perubatan di negara ini untuk menyemak jika mereka ada merawat seorang pesakit yang bernama Subramaniam, berusia 59, kerana keracunan arsenik.

(Contoh air kencing dihantar ke Gribbles Pathology Laboratory di Melbourne menggunakan nama Subramaniam dan dia dikatakan berusia 59 tahun.

Keputusan ujian diterima semula pada 26 Ogos.

"Elok kita ketahui fakta sebenarnya dulu. Adakah orang bernama Subramaniam yang mengalami keracunan arsenik dan contoh air kencing siapa yang diambil? Mereka (Anwar dan peguam-peguamnya) mendakwa air kencing dihantar menggunakan nama ini (Subramaniam) dan kita mesti menyemak (di semula hospital dan makmal perubatan) kerana mungkin orang seperti itu pernah dirawat," katanya kepada pemberita selepas menghadir satu majlis anjuran MCA di sini.

"Arsenik adalah bahan kimia berbahaya dan jika parasnya tinggi dalam badan manusia, seseorang patut segera menemui doktor, malah awak boleh mendesak seorang doktor dihantar merawat awak walaupun dalam penjara," katanya.

Dr Ling berkata beliau berharap peguam Anwar, Karpal Singh, akan mendedahkan nama mereka yang berkedudukan tinggi yang beliau dakwa bertanggungjawab menyebabkan keadaan Anwar begitu, kepada pasukan penyiasat dengan segera kerana jika dakwaan itu benar, mereka adalah orang yang berbahaya.

"Jika beliau tidak mempunyai bukti, Karpal tidak patut membuat dakwaan seperti itu kerana ia merupakan tuduhan yang serius," katanya.

Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga presiden Parti Keadilan Nasional, mendakwa Jumaat lepas bahawa kerajaan cuba membunuh suaminya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan siasatan segera dan menyeluruh ke atas dakwaan itu.

"Ia adalah tuduhan yang serius. Dan kerajaan dan rakyat mesti memberi perhatian penuh kepadanya. Ini semula (siasatan) mesti segera dilakukan kerana kita perlu mengetahui puncanya dan saya tidak percaya mana-mana anggota Kabinet terfikir untuk cuba meracuni Anwar," kata Dr Ling.

Beliau juga meminta pihak berkuasa penjara meningkatkan keselamatan di penjara berikutan tuduhan bahawa mereka yang berpengaruh cuba meracuni Anwar.-- BERNAMA


Last changed: September 12, 1999