[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Ong tahukah apa yang dia cakapkan?

Date: 12 Sep 1999
Time: 23:13:48
Remote User: -

Comments

Ulasan

Dalam berita ini jelas kepadarakyat bahawa Ong tidak tahu hujung pangkal cerita kerana pada kejadian tersebut dia tidak ada. Para penyokong DSAI telah mengikuti undang-undang untuk berhimpun dengan aman tapi pihak polis telah mengganggu hak mereka.

Ong hanya dengar berita sebelah pihak.

==============================================================================================================================

KERAJAAN KESAL PENYOKONG ANWAR SERANG ANGGOTA POLIS

KUALA LUMPUR, Sept 12 (Bernama) -- Kerajaan kesal dengan tindakan sekumpulan penyokong bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang seorang anggota polis hingga cedera di ibu negara semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Ong Ka Ting hari ini berkata kerajaan memandang serius kejadian itu dan tidak mahu ia berulang kerana mereka yang menyertai demonstrasi itu tidak mengikut lunas undang-undang.

"Ini sangat tidak adil bagi sistem kepolisan di negara ini," katanya pada sidang media selepas menyaksikan "Sand-Art puzzle" yang terbesar di Malaysia di sebuah pusat membeli-belah, di sini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang di Pasar Seni semalam, pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi C/Insp Zaidy Haron ditumbuk bertubi-tubi di muka dan kepala serta ditendang di bahagian perut sehingga terjatuh oleh sekumpulan lelaki penyokong Anwar, semasa beliau menghampiri kumpulan itu untuk menasihatkan mereka supaya berhenti berarak.

Ong berkata kejadian itu sangat memalukan dan tidak baik di mata masyarakat dan juga orang luar.

"Orang asing mungkin ingat di sini orang ramai boleh buat kekasaran hingga mencederakan anggota polis," katanya.

Ong berkata demonstrasi berterusan tidak akan membawa apa-apa faedah malah mengakibatkan gejala sosial yang tidak sihat.

Beliau berkata bilangan anggota polis adalah cukup dan polis bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di Kuala Lumpur atau kawasan sekitarnya pada bila-bila masa.

Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap dakwaan Anwar mengalami keracunan arsenik, Ong berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menjelaskan perkara itu dan beliau berharap pihaknya diberi sedikit ruang untuk menyiasat hal ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Kamarudin Mohamed Ali berkata dua pemimpin dan seorang anggota Parti Keadilan Nasional (Keadilan) -- Chua Tian Chang (Tien Chua), Mohamad Ezam Mohamed Nor dan Mohamed Azmin Ali -- akan dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata mereka didapati berada di tempat kejadian semasa Zaidy diserang.

"Mereka akan dipanggil untuk memberi kenyataan bagi membantu polis mengesan sekumpulan penyokong reformasi yang bertindak menyerang Zaidy," katanya kepada pemberita selepas hadir pada kempen anti-dadah di rumah pangsa Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Tien Chua ialah naib presiden Keadilan, Mohamad Ezam (Ketua Pemuda) dan Mohamed Azmin (bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Ditanya mengenai keadaan Zaidy, Kamarudin berkata pegawai berkenaan menerima rawatan pesakit luar semalam dan keadaannya dilaporkan baik.

Zaidy dan lapan anggota polis lain sebelum itu menerima arahan supaya mengambil tindakan terhadap satu kumpulan reformasi yang sedang berarak dari stesen LRT Pasar Seni menuju ke Dayabumi.

Zaidy, yang berpakaian seragam tanpa senjata api, hanya boleh menyelamatkan diri selepas keadaan terkawal.

Kamarudin berkata polis memandang serius kejadian itu kerana polis selama ini cuba berlembut dan tidak mahu menunjukkan sikap provokasi sehingga tidak membawa senjata apabila berhadapan dengan kumpulan reformasi ini.

"Kita (polis) tidak fikirkan yang mereka ini (penyokong reformasi) akan bertindak liar...tetapi apabila mereka sudah menunjukkan sikap yang agresif, polis akan lebih bersedia pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata polis hari ini mengedarkan gambar enam penyokong reformasi dipercayai terbabit menyerang Zaidy.

Gambar-gambar itu juga akan dipamerkan di balai-balai polis di Lembah Klang dan di semua tempat awam.

"Segala tindakan akan diambil untuk mengesan mereka yang terbabit sehingga tertangkap," katanya.

Polis meminta sesiapa yang melihat kejadian serangan terhadap pegawai polis atau mempunyai maklumat mengenai mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram di ibu negara semalam supaya menghubungi polis di nombor telefon 03-2020199. -- BERNAMA


Last changed: September 12, 1999