[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Biar benar.

Date: 13 Sep 1999
Time: 05:26:57
Remote User: -

Comments

Ulasan

Harap berita ini benar kerana rakyat sukar nak percaya kalau ia dibuat secara tergesa-gesa dan tidak terperinci.

==============================================================================================================================

KEADAAN ANWAR BAIK, KATA HOSPITAL

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Keadaan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di sini Jumaat lepas adalah baik, kata hospital itu hari ini.

Pengarah hospital Prof Datuk Dr Khalid Abdul Kadir berkata Anwar dimasukkan ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan pada jam 10.09 pagi hari tersebut atas perintah Mahkamah Tinggi dan beliau telah dimasukkan ke dalam wad untuk pemerikasaan lanjut.

Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Datuk Arifin Jaka yang menangguhkan perbicaraan kes liwat Anwar setelah diberitahu oleh peguamnya bahawa Anwar mengalami keracunan arsenik berdasar ujian sampel air kencingnya.

Dalam satu kenyataan ringkas, Dr Khalid berkata satu pasukan panel pakar hospital itu sedang menjalankan pemeriksaan yang terperinci ke atas Anwar.

"Keadaan beliau adalah baik," katanya tanpa memberi butiran lanjut. Isu keracunan arsenik itu ditimbulkan peguam Karpal Singh yang memberitahu mahkamah bahawa keputusan ujian sampel air kencing yang dihantar ke Gribbles Pathology Laboratory di Melbourne, Australia, menunjukkan Anwar keracunan arsenik.

Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah, sedang dibicarakan terhadap tuduhan meliwat bekas pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar.

Isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Ismail dalam kenyataan semalam berkata, sampel itu dihantar ke Gribbles Pathology Malaysia Berhad di Petaling Jaya pada 18 Ogos dan ujian hanya dilakukan oleh makmal syarikat tersebut di Melbourne pada 26 Ogos.

Katanya, laporan mengenai keputusan ujian makmal di Melbourne itu diterima olehnya pada 9 Sept dari wakil syarikat itu di Petaling Jaya dan dibawa ke pengetahuan mahkamah sehari kemudian.

Beliau menyatakan ini sebagai menjelaskan persoalan kenapa pihaknya mengambil masa 14 hari untuk mengemukakan perkara mengenai keracunan arsenik suaminya itu kepada mahkamah. -- BERNAMA


Last changed: September 13, 1999