[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Pergi sendiri

Date: 13 Sep 1999
Time: 06:07:34
Remote User: -

Comments

Ulasan

Setakat terima laporan mana rakyat nak percaya. Kalau dalam tahanan Bukit Aman pun tak selamat inikan pula di penjara Sungei Buluh.Pergilah siasat sendiri.

==============================================================================================================================

PENJARA TIDAK CUAI DALAM MENGAWAL ANWAR, KATA ONG

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Kerajaan berpuas hati dengan cara-cara Jabatan Penjara mengawal Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun ada pihak mempersoalkan kewibawaan jabatan itu sehingga membolehkan surat dan air kencing bekas timbalan perdana menteri itu diseludup keluar bagi kepentingan parti pembangkang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Ong Ka Ting berkata kakitangan dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Omar Mohamed Dan telah menjalankan tugas mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

" Kerajaan ingin menegaskan bahawa tidak ada unsur-unsur penyelewengan atau rasuah dalam pengurusan Jabatan Penjara", katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Kementerian itu, di sini hari ini.

Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah, sedang dibicarakan terhadap tuduhan meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Pada 19 Mei lepas, akhbar tabloid Eksklusif menyiarkan surat yang didakwanya ditulis Anwar dari penjara. Dalam surat itu, Anwar membuat beberapa tuduhan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.

Ong berkata siasatan Jabatan Penjara terhadap isu surat berkenaan sudah selesai. Beliau bagaimanapun tidak menyebut sama ada kerajaan akan mengumumkan hasil siasatan berkenaan kepada orang ramai.

Kes terbaru ialah berhubung dakwaan peguam Anwar, Karpal Singh, di Mahkamah Tinggi Jumaat lepas bahawa Anwar mengalami keracunan arsenik, berdasarkan ujian contoh air kencing beliau oleh Makmal Patologi Gribbles di Melbourne, Australia pada 26 Ogos lepas.

Polis masih menyiasat dakwaan berkenaan dan belum dapat mengesahkan sama ada air kencing itu diseludup keluar ketika Anwar dalam penjara atau ketika beliau menghadiri perbicaraan di mahkamah. -- BERNAMA


Last changed: September 13, 1999