[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Pandangan orang nyanyuk

Date: 13 Sep 1999
Time: 06:13:11
Remote User: -

Comments

Ulasan

Janganlah Si Kepala Taik nak tunjuk jaguh. Berani cakap dalamnegeri sahaja. Lebih teruk dari Fiedel Castro.Dia ingin menjadi pemimpin paling gila dalam sejarah manusia sebab dia doktor gila.

==============================================================================================================================

HAK ASASI MANUSIA BUKAN HANYA HAK UNTUK MENENTANG, KATA MAHATHIR

PETALING JAYA, 13 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata dunia sewajarnya berasa prihatin terhadap pelanggaran hak asasi manusia, tetapi hak asasi manusia kini hanya ditakrifkan sebagai hak untuk membuat penentangan politik.

Takrif seumpama itu bermaksud rakyat mesti dibenarkan untuk menyuarakan pendapat yang menentang walau dengan apa cara sekalipun, dan jika tindakan menyuarakan pendapat itu menimbulkan ketidakstabilan, rusuhan dan pembunuhan maka ia terpaksa diterima, katanya.

"Pendapat tentang hak asasi manusia semakin aneh. Perbuatan yang menjadikan berjuta-juta orang papa atau menyebabkan mereka tidak mendapat bantuan perubatan atau membunuh sejumlah besar orang secara langsung atau tidak langsung, tidak lagi dianggap melanggari hak asasi manusia.

"Tetapi dengan menangkap seorang penentang politik, seluruh dunia akan mengutuk kerajaan kerana melanggari hak asasi manusia," katanya semasa merasmikan Persidangan Undang-undang Komanwel Ke-12 di Pusat Persidangan Sunway Pyramid di sini.

Dr Mahathir berkata hakikat bahawa kerajaan melindungi hak berjuta-juta rakyat yang patuh kepada undang-undang menjadi tidak relevan kerana hak untuk penentangan politik itu lebih penting daripada yang lain.

Perdana Menteri berkata pendapat di kalangan perundangan, yang meskipun memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, nampaknya tidak begitu mengambil berat terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang dengan nyata dilakukan secara besar-besaran dan sistematik itu.

Mereka lebih menumpukan perhatian kepada soal negara membangun yang dianggap tidak memahami proses perundangan, rasuah dan cenderung ke arah meracuni dan merancangkan untuk menjatuhkan saingan politik, katanya.

"Apa sahaja bukti yang boleh menunjukkan sesuatu yang berlawanan, maka negara-negara membangun terutamanya negara-negara bekas tanah jajahan, tidak boleh dianggap sebagai betul melaksanakan keadilan sebagaimana dalam perkara lain," katanya.

Kira-kira 1,500 orang ahli perundangan, termasuk 29 ketua hakim, 41 hakim, lima peguam negara menghadiri persidangan empat hari itu.

Dr Mahathir berkata nampaknya ketidakupayaan berpegang kepada pandangan politik yang bertentangan menimbulkan bebanan kepada seseorang rakyat, dan takrif hak asasi manusia sebagai hak untuk membuat penentangan politik bermaksud tidak siapa harus dihukum dengan apa cara sekalipun kerana mempunyai pandangan politik yang berbeza daripada kerajaan.

Beliau berkata kerajaan sesebuah negara dianggap melanggari hak asasi manusia kerana ia menafikan hak beberapa orang untuk menentang manakala peniaga mata wang yang menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian tidak dianggap melanggari hak asasi manusia.

"Nampaknya pelanggaran hak asasi manusia hanya boleh dilakukan oleh pihak kerajaan manakala semua pihak lain boleh menindas berjuta-juta orang tanpa dihukum. Memandangkan penindasan oleh manusia terhadap manusia lain tidak dianggap melanggari hak asasi manusia, maka kita tidak akan berbuat apa-apa untuk menghentikannya.

"Demikianlah kita melihat hak peniaga mata wang ditegakkan manakala hak mangsanya yang menderita tidak dipedulikan," katanya.

Perdana Menteri berkata untuk memaksa pemimpin sesebuah negara yang dianggap diktator menyerah diri, rakyat negara itu dihalang daripada mendapatkan bekalan makanan dan perubatan melalui sekatan yang dikenakan.

Beliau berkata jika ini tidak memadai, negara itu dibom secara berterusan dalam usaha memaksa pemimpin negara itu membenarkan pihak antarabangsa memeriksa negaranya, mengakibatkan lebih ramai rakyat yang tidak bersalah terkorban.

Beliau berkata nampaknya tindakan menjadikan rakyat sesebuah negara itu kelaparan dan membunuh mereka tidak termasuk dalam pelanggaran hak asasi mereka.

"Kematian orang lain, yang mungkin tidak bersalah, dianggap kurang penting berbanding kebebasan seseorang untuk menentang," katanya.

Dr Mahathir berkata dari satu segi, sesebuah negara harus berkelakuan baik, kalau tidak ia akan menerima kritikan yang merosakan, tetapi dari segi lain pula sesebuah negara mungkin berkelakuan baik, tetapi mereka yang ingin merosakkan negara itu masih boleh membuat laporan yang buruk terhadapnya.

"Orang datang, mereka memerhati dan membuat ulasan; ulasan yang boleh merosakkan sesebuah negara dan melibatkan kerugian perdagangan yang bernilai berjuta-juta ringgit. Pemberita, kru TV dan pelbagai pakar datang dan pergi, mendedahkan sesebuah negara kepada siasatan yang terperinci," katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia adalah sebuah negara demokratik yang menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Anda mungkin mahu memeriksa, anda dialu-alukan berbuat demikian. Kami tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, tetapi fikiran yang terbuka daripada anda diperlukan untuk membuat penilian yang adil," katanya.

Dr Mahathir berkata penguatkuasaan undang-undang dan menjaga keamanan tidak lagi boleh dilakukan dengan memukul dan memasukkan orang ke dalam penjara, penguatkuasa undang-undang perlu "berlembut dan berhati-hati" kerana apa yang mereka lakukan akan dirakamkan dan disiarkan melalui televisyen ke seluruh dunia.

"Tetapi, bagaimana kita hendak menangani keganasan, perusuh yang membaling batu dan membakar kedai? Bagaimana kita hendak melindungi penjaga kedai dan gerai daripada kumpulan perusuh, jika kaedah berlembut gagal?

"Atau, adakah kita tidak mempedulikan kerugian yang ditanggung oleh peniaga itu kerana hak demokratik kumpulan perusuh itu lebih penting daripada hak rakyat yang lain?" tanyanya.

Dr Mahathir lalu bertanya apa perlunya kerajaan jika kerajaan tidak dapat melaksanakan undang-undang dan menjaga ketenteraman awam untuk melindungi rakyat yang tidak bersalah.

Beliau berkata kru TV mungkin melakukan sesuatu yang baik dengan menghalang kerajaan yang tidak bertanggungjawab, tetapi mereka juga mungkin menghalang kerajaan yang bertanggungjawab daripada melindungi hak rakyat yang tidak bersalah untuk meneruskan perniagaan bagi mencari nafkah.

Beliau berkata sementara undang-undang memberi peruntukan untuk litigasi, ia tidak memberikan peruntukan bagi kerosakan ataupun kematian yang disebabkan oleh kumpulan perusuh.

"Jika kita anggap ini sebagai adil, maka kita perlu berbuat sesuatu. Tetapi, jika kita prihatin, kita perlu merumuskan cara baru dan undang-undang yang boleh mengelakkan penderitaan terhadap mereka yang tidak bersalah yang menjadi mangsa perusuh jalan raya... Pada masa ini mereka dibebaskan kerana tiada bukti kukuh," katanya.

Dr Mahathir berkata cara negara-negara membangun melaksanakan proses perundangan mereka selalunya dikatakan lemah, dan usaha dilakukan supaya negara-negara tersebut mengikuti apa yang dikatakan standard dunia dan nilai-nilai sejagat.

Beliau berkata oleh itu tidak menghairankan apabila amalan dan undang-undang antarabangsa hanya diberi sedikit perhatian.

"Sistem kewangan antarabangsa adalah satu daripadanya, tetapi yang lebih penting, struktur dan peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tidak dikemaskinikan mengikut peredaran masa," katanya.

Beliau berkata lima anggota tetap PBB -- Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat -- menguasai hal ehwal PBB dan menghalang sebarang suara yang menentang daripada didengari, dan pada ketika-ketika tertentu tidak mempedulikan langsung amalan dan undang-undang antarabangsa.

"Oleh itu mereka memandang ringan terhadap perbuatan menangkap pemimpin sesebuah negara lain dan membicarakannya mengikut undang-undang negara mereka sendiri... Mereka sebenarnya menyokong apa yang mungkin boleh disifatkan sebagai negara pengganas, bukan di negara mereka sendiri tetapi di negara lain yang selalunya kecil dan lemah," katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun menganggotai PBB, negara-negara kecil itu tidak dapat mencari penyelesaian terhadap langkah-langkah penekanan yang diambil terhadap mereka.

"Mahkamah Dunia tidak menawarkan kemudahan ini memandangkan pihak-pihak yang terlibat mesti bersetuju dan mematuhi keputusannya terlebih dahulu. Negara kuat tidak akan menerima penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Dunia," katanya.

Dr Mahathir berkata dengan ketibaan alaf baru, tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang demokrasi dari segi hubungan antara negara, dan rakyat tinggal dalam keadaan primitif dan kuasa adalah kebenaran.

"Keadilan dan kesamarataan tidak wujud sama sekali... hak individu harus dilindungi tetapi negara juga perlu dilindungi, kerana individu yang banyak mewujudkan negara," katanya.

Beliau berkata liberalisasi dan deregulasi dilaung-laungkan sebagai kuasa ajaib kepada order baru ekonomi dunia, tetapi dari apa yang telah dilihat oleh penduduk Asia Timur, order baru ini mungkin akan menyebabkan mereka ditakluk daripada segi ekonomi dan politik.

"Sementara kita percaya kepada demokrasi, hak asasi manusia dan peraturan

undang-undang, kesemua ini tidak akan bermakna jika secara langsung atau tidak langsung kita dijajah semula," katanya.

Persidangan itu yang bertemakan "Undang-undang dan Masyarakat Dalam Abad Ke-21" dianjurkan oleh Persatuan Peguam Komanwel dan Majlis Peguam Malaysia. -- BERNAMA


Last changed: September 13, 1999