[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kecuali Malaysia

Date: 13 Sep 1999
Time: 06:16:25
Remote User: -

Comments

Ulasan

Ya betul tapi tidak di Malaysia sebab hakim Malaysia sudah boleh kena beli dan diugut oleh ahli politik berkuasa seperti Si Kepala Taik. Ucapan ini memalukan Malaysia dan sepatutnya persidangan ini tidak diadakan di sini.

==============================================================================================================================

HAKIM DI NEGARA MEMBANGUN JUGA BEBAS, KATA PM

PETALING JAYA, 13 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata masyarakat perundangan antarabangsa seharusnya membuang pendapat bahawa para hakim di negara-negara membangun tidak bebas.

"Saya berharap mereka tidak mempunyai prasangka bahawa negara-negara membangun tidak membenarkan para hakimnya bebas", katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Undang-undang Komanwel ke-12 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata masalahnya ialah mahkamah tidak dianggap bebas apabila ia membuat keputusan yang tidak memihak kepada orang yang disokong.

Dengan menyebut hukuman mati yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap seorang menteri, beliau berkata tidak ada sesiapa menganggap mahkamah tidak bebas meskipun ia membabitkan menteri kerajaan.

"Masalahnya nampaknya ialah jika mereka menyokong seseorang, tetapi keputusan mahkamah tidak menyebelahinya maka mahkamah adalah tidak bebas.

"Tetapi jika mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap anggota kerajaan, dan pernah satu masa mahkamah benar-benar menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang menteri, tiada siapa berkata mahkamah tidak bebas," katanya.

Dr Mahathir berkata semuanya bergantung kepada siapa yang dibicarakan.

"Jika seorang anak kesayangan atau pemimpin kesukaan dibicarakan dan dia tidak dibebaskan, maka mahkamah dianggap tidak bebas.

"Tetapi jika seseorang, contohnya jika saya dihadapkan ke mahkamah, dan mahkamah tidak memihak kepada saya, maka mahkamah itu dianggap bebas," katanya.

Dr Mahathir berkata masyarakat perundangan antarabangsa berhak membincangkan pentadbiran undang-undang negara ini dan mereka mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenainya.

Ditanya mengenai kekecewaan yang diluahkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Bill Clinton mengenai keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan wartawan Far Eastern Economic Review kerana menghina mahkamah, Dr Mahathir berkata Clinton bebas membuat sebarang kenyataan dan beliau berhak kepada pendapatnya.

"Saya rasa beliau berhak berpegang kepada pendapatnya dan saya juga berhak berpegang kepada pendapat saya."

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata "tabiat Amerika" yang menahan rakyat negara lain dan membawa mereka ke AS untuk dibicarakan, seperti pemimpin tentera Panama, Manuel Noriega, adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

White House, dalam kenyataan yang dikeluarkan di Auckland, New Zealand, berkata: "Menghantar wartawan ke penjara kerana menjalankan tugasnya menjejaskan kebebasaan akhbar yang memainkan peranan penting dalam membangunkan masyarakat demokratik." Clinton berada di Auckland bagi menghadiri persidangan tahunan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Murray Hiebert, 52, dijatuhi hukuman pada 1997 kerana artikelnya mengenai saman oleh Chandra Sri Ram, isteri Hakim Mahkamah Rayuan, Gopal Sri Ram, terhadap Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sabtu lepas, Presiden Mahkamah Rayuan Lamin Yunus, bersama-sama Hakim-hakim Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Dennis Ong, menolak rayuan Hiebert terhadap sabitan dan mengurangkan tempoh hukuman penjara asalnya tiga bulan kepada enam minggu serta membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Ditanya sama ada kenyataan Clinton mengenai Hiebert dianggap sebagai campur tangan, Dr Mahathir berkata: "Beliau bebas membuat kenyataan itu tetapi jika dia berhasrat menghantar tentera ke sini untuk membebaskan Hiebert, maka kita anggapnya sebagai campur tangan."

Sambil berkata bahawa Presiden AS itu tidak harus meneruskan tabiat menahan rakyat negara lain kerana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, Perdana Menteri berkata: "Saya fikir beliau tidak boleh melakukannya. Saya juga tidak suka tindakan pengeboman berterusan ke atas Iraq bagi menjatuhkan Saddam Hussein."

Ditanya mengenai apa yang dilakukan oleh Malaysia bagi memaksa lima anggota tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melepaskan hak kuasa veto mereka, Dr Mahathir berkata tidak banyak yang dapat dilakukan Malaysia.

"Dalam sistem feudal, kita tidak boleh membuat perubahan jika kita bergantung kepada permohonan agar pemerintah feudal memberi persetujuan, dia tidak akan bersetuju.

"Oleh itu, tidak banyak yang boleh kita (Malaysia) lakukan. Kita negara kecil. Kita kena bermimpi dan menanggungnya," kata beliau.

Ditanya sama ada terdapat inisiatif baru bagi meneruskan perkara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia telah kerap bercakap dan menyuarakan pandangannya mengenai perkara yang berkaitan dengan PBB dan akan terus melakukannya.

Ditanya mengenai harapannya mengenai persidangan itu, Dr Mahathir berkata: "Sungguhpun baik untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran undang-undang di pelbagai negara, adalah juga baik untuk memberi tumpuan kepada tabiat negara-negara dalam arena antarabangsa yang masih jauh daripada demokratik."

Persidangan empat hari yang dihadiri kira-kira 1,500 anggota masyarakat perundangan antarabangsa adalah yang pertama kali dilangsungkan di Asia sejak Persatuan Peguam Komanwel ditubuhkan pada 1983. -- BERNAMA


Last changed: September 13, 1999