[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Laksana satu-satu dulu

Date: 13 Sep 1999
Time: 20:24:41
Remote User: -

Comments

Ulasan

Pandangan Musa adalah meluas dan mudah difahami tapi masalah timbul apabila ada perbezaan pendapat dalam hak asasi manusia dan juga bidang-bidang lain. Reformasi diperlu untuk membetulkan keadaan yang begini tenat.

Laksana satu-satu setelah rumusan dibuat.

============================================================================================================================== HAK ASASI MANUSIA PERLU DILIHAT DENGAN PERSPEKTIF BERBEZA, KATA MUSA HITAM

PETALING JAYA, 13 Sept (Bernama) -- Isu hak asasi manusia di Malaysia harus dilihat dari perspektif lebih luas dengan kepentingan yang sama diberikan kepada hak ekonomi, sosial dan budaya selain hak berpolitik, kata bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Musa Hitam hari ini.

Katanya kini orang ramai mempunyai kecenderungan untuk memberi lebih tumpuan kepada hak berpolitik dan oleh itu adalah perlu untuk menyeimbangkan antara kesemua hak-hak itu.

Bagaimanapun, katanya apabila ia mengenai hak berpolitik, seseorang itu perlu menerima realiti bahawa perkara itu akan sentiasa menimbulkan kontroversi, perbalahan dan keghairahan yang merupakan sebahagian daripada kehidupan sebuah masyarakat demokratik.

"Kita tidak sedar bahawa selain hak berpolitik, hak asasi manusia merangkumi aspek lain juga. Saya rasa rakyat Malaysia harus positif dan menumpukan kepada semua aspek hak asasi manusia," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada persidangan Undang-undang Komanwel ke-12 di sini.

Musa berkata di Malaysia, pembangkang mempunyai kecenderungan mengkritik kerajaan mengenai isu hak asasi manusia.

"Apabila anda membincangkan hak asasi manusia, seseorang itu tidak perlu menjadi pro pertubuhan bukan kerajaan atau anti kerajaan," katanya.

Musa berkata cadangan penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia kebangsaan boleh menjadi tempat bagi semua membincangkan isu hak asasi manusia dalam cara yang lebih baik.

"Kita akan berpeluang mencuba meletakkan isu hak berpolitik dalam perspektif yang betul." katanya.

-- BERNAMA


Last changed: September 13, 1999