[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI - 13.9.99

Date: 13 Sep 1999
Time: 20:45:54
Remote User: -

Comments

Kini Isnin

Anwar Ibrahim Diracun Rakyat Malaysia mendesak supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri, telah diracun semasa dalam tahanan. Dakwaan ini wujud kerana terdapatnya satu laporan makmal dari Melbourne, Australia, yang diterima oleh pihak peguambela Anwar menyatakan bahawa kesan racun arsenik dalam air kencing Sdr Anwar Ibrahim sebanyak 230 jauh melebihi paras normal (3), malah paras berbahaya (17). Perkara yang serius ini telah dikemukakan kepada mahkamah yang sedang membicarakan Sdr Anwar Ibrahim. Racun aresenik adalah sejenis bahan kimia yang sangat toksik jika berada dalam tubuh badan manusia. Malah, antara lain, general Perancis, Napoleon pernah dibunuh secara perlahan ketika ditahan di pulau Elba dengan arsenik kerana kesannya sukar dicam.

Menurut Ketua Penerangan PRM, “Sudah setahun Anwar berada dalam tahanan Polis dan Penjara. Pihak berkuasa Polis dan Penjara perlu bertanggungjawab sekiranya hasil kajian makmal itu disahkan benar oleh satu badan penyiasat perubatan yang diselia oleh Suruhanajaya Diraja. Rakyat perlu tahu siapakah yang bertanggungjawab dan mempunyai niat jahat untuk membunuh Anwar Ibrahim secara beransur-ansur.

“Anwar Ibrahim sejak setahun ditahan ini telah kehilangan berat badan yang banyak. Rambutnya gugur. Mukanya cengkung. Giginya sakit. Pemakanan sehariannya juga tidak seimbang dan membimbangkan. Kini satu laporan makmal menunjukkan ada kimia arsenik dalam tubuh badannya. Dari mana racun itu datang?”

Rakyat Malaysia menentang keras sebarang bentuk konspirasi jahat untuk membunuh Anwar Ibrahim, bukan saja secara politik, tetapi juga orangnya. “Kami mendesak segera Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, seorang doktor perubatan, supaya segera menasihati Yang Di-Pertuan Agung supaya satu suruhanjaya bebas dibentuk.”

Keruntuhan Bank Bumiputera Pada hari ini 10 dan 11 September, Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat (KEB-4) berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur. Lebih 1,000 usahawan Bumiputera dijangka menghadiri kongres tersebut. Rakyat Malaysia secara umum dan kaum Bumiputera secara khusus mengalu-alukan KEB-4. Semoga Kongres itu nanti dapat menghasilkan cadangan yang baik untuk kemajuan ekonomi Bumiputera dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Satu isu penting patut dibincangkan oleh KEB-4. Isu tersebut ialah tentang keruntuhan Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB). Bank Bumiputera diwujudkan hasil dari cadangan Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama pada Jun 1965. Bank Bumiputera memulakan perniagaan pada Februari 1966 dengan modal permulaan sebanyak RM5 juta.

Bank Bumiputera kemudian tumbuh dan berkembang sehingga menjadi bank terbesar di Malaysia. Kejatuhan BBMB bermula apabila berlakunya skandal BMF pada tahun 1981 di Hong Kong. Sebelum skandal itu berlaku, BBMB adalah bank nombor satu di Malaysia. Akibat dari skandal penyelewengan BMF itu, BBMB telah kerugian sebanyak RM2.5 bilion. Kerajaan BN pimpinan Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Petronas pada tahun 1984 supaya menyelamatkan BBMB dengan menyuntik modal ke dalam bank tersebut.

Pada tahun 1989, sekali lagi, kerajaan mengarahkan Petronas supaya menyuntik modal buat kali kedua kepada BBMB untuk menyelamatkan bank tersebut. Pinjaman berlebihan untuk membeli harta tanah pada pertengahan tahun 1980-an telah menyebabkan BBMB mengalami masalah hutang tidak berbayar (non-performing loan, atau ringkasnya, NPL).

Pada tahun 1997, sebelum kegawatan ekonomi berlaku, BBMB sekali lagi mengalami kerugian besar. BBMB telah kerugian sebanyak RM2.4 bilion.

Krisis ekonomi yang berlaku mulai Julai 1997 itu telah menyebabkan BBMB menanggung hutang tidak berbayar (NPL) yang amat tinggi. Pada bulan September 1998, kerajaan sekali lagi telah menyuntik RM1 bilion ke dalam BBMB untuk membolehkan Bank Bumiputera itu terus beroperasi. Menurut statistik, jumlah hutang tidak berbayar BBMB yang telah dibeli oleh Pengurusan Danaharta Nasional Bhd (Danaharta) adalah sebanyak RM6.2 bilion, iaitu 16 peratus dari jumlah NPL yang dibeli oleh Danaharta.

Bank Bumiputera Jatuh Kepada Kuncu Daim Pada hari Jumaat, ketika lebih 1,000 orang perwakilan ke Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat bersidang, mereka sepatutnya menerima hakikat bahawa BBMB yang telah dikenali selama lebih 33 tahun itu sudah tidak wujud lagi. Identiti BBMB sudah berubah. Pemegang sahamnya sudah berubah. Imejnya sudah berubah. Falsafahnya juga sudah berubah. Bank Bumiputera sekarang sudah diambil alih oleh Commerce Asset-Holding Bhd (CAHB) yang dikuasai oleh kroni-kroni Daim Zainuddin. Dari sebuah bank yang dimiliki kerajaan dengan tujuan untuk membangunkan ekonomi Bumiputera, kini BBMB telah dikuasai oleh Daim Zainuddin melalui kroni-kroninya.

BBMB digabungkan dengan Bank of Commerce (BOC) yang dimiliki oleh CAHB. Penggabungan ini menghasilkan satu bank yang baru yang bernama Bumiputera Commerce Bank Berhad dengan aset keseluruhannya bernilai RM6.8 bilion.

Persoalannya sekarang mengapa keruntuhan BBMB ini berlaku? Apa puncanya? Siapa yang bersalah? Siapa yang patut memikul tanggungjawabnya?

Tiga kali, BBMB diselamatkan, tetapi akhirnya, gagal juga. Berbilion wang Petronas, wang negara dan wang rakyat dipam ke dalam BBMB, tetapi akhirnya, runtuh juga bank yang menjadi simbol kewangan Bumiputera. Tiga orang Perdana Menteri, bermula dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Abd Razak Hussein dan Tun Hussein Onn menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan BBMB.

Bank Bumi Runtuh Pada Zaman Mahathir Tetapi malangnya, pada zaman Mahathir, tiga penyelewengan dan skandal besar telah berlaku ke atas BBMB sehingga membawa maut kepada bank tersebut. Pada zaman Mahathir, Bank Bumiputera diselamatkan tiga kali, tetapi mati juga dan jatuh pada tangan kuncu Daim. Adakah Mahathir boleh lepas tangan?

Skandal BMF di Hong Kong mulai terbongkar seawal tahun 1981. RM2.5 bilion wang BBMB lesap ditipu. Ramai nama pemimpin yang dikaitkan, termasuk Dr Mahathir sendiri dan Menteri Kewangan waktu itu, Tengku Razaleigh Hamzah. Tidak seorang pun yang dihukum oleh mahkamah Malaysia. Hanya pengarah-pengarah BMF, seperti Datuk Hashim Shamsuddin dan Tan Sri Loraine Osman, yang dibicarakan dan dihukum, itu pun oleh mahkamah Hong Kong. Mahkamah Malaysia sunyi senyap. BPR senyap tak berdetik. Peguam Negara bisu seribu bahasa.

Seluruh negara rakyat menuntut supaya dihukum sesiapa yang bersalah, tetapi Mahathir dan UMNO mencari seribu dalih dan helah. Akhirnya, skandal penyelewengan itu berlalu begitu sahaja menjadi sejarah. Tetapi sekarang, satu negara, khususnya kaum Bumiputera, menerima padah. Rasuah di bawah Mahathir membiak menjadi wabak.

Seorang pegawai BBMB, Jalil Ibrahim, dibunuh di Hongkong. Tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil di Malaysia terhadap mereka yang bertanggung jawab.

Suntikan modal oleh kerajaan pada tahun 1989 dan 1998 untuk menyelamatkan BBMB disebabkan kerugian yang berpunca antaranya oleh hutang yang tidak berbayar (NPL). Persoalannya siapakah peminjam yang tidak membayar hutang itu?

Renungan Kongres Bumiputera Keempat Dr Mahathir Mohamad, yang terkenal dengan hobinya mengeluarkan senarai-senarai setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (contohnya pada perhimpunan tahun 1998 dan 1999), harus mengeluarkan satu lagi senarai baru. Seelok-eloknya ketika beliau berucap merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat pada Jumaat lalu.

Bolehkah Dr Mahathir mengeluarkan senarai lengkap (tidak berpilih seperti sebelumnya) siapakah tokoh-tokoh usahawan atau korporat besar yang berhutang dengan BBMB itu sehingga bank tersebut lumpuh dan tersungkur? Rakyat mahu tahu ada atau tidak nama-nama Datuk, Datuk Seri, Datin Sri, Tan Sri, Tun atau kerabat diraja yang meminjam duit BBMB, tetapi tidak membayar balik? Rakyat mahu tahu, kalau ada, mereka itu kroni siapa?

Bagi rakyat Malaysia biasa, termasuk usahawan-usahawan kecil di seluruh negara, amat sukar untuk mereka mendapatkan pinjaman dari BBMB (walaupun mereka Bumiputera). Setiap pinjaman biasanya dituntut cagaran yang kukuh. Bagi peminjam yang berhutang, mereka akan dikejar oleh BBMB. Jika tidak dapat peminjamnya, penjaminnya akan dicari. Dituntut hutang itu sehingga ke lubang cacing.

Tetapi kenapa kalau tokoh-tokoh korporat besar yang ada pangkat dan gelaran, apabila mereka berhutang dengan BBMB, mereka boleh lepas tidak membayar begitu sahaja? Hutang mereka itu kemudian dikira sebagai hangus atau diwrite off begitu sahaja? Adilkah urusan perbankan seperti ini? Tidakkah amalan buruk seperti ini menyebabkan BBMB itu runtuh akhirnya?

Jadi, Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat berhak menuntut supaya Dr Mahathir mengeluarkan satu senarai lengkap nama tokoh-tokoh korporat atau usahawan yang berhutang dengan BBMB. Kalau MARA boleh mengeluarkan senarai nama pelajar-pelajar yang tidak membayar pinjaman pelajaran MARA, mengapa Mahathir tidak boleh senaraikan nama orang-orang yang berhutang dengan BBMB?

Rakyat mahu tahu siapa mereka? Adakah mereka ini menjadi kroni sesiapa? Adakah mereka ini mempunyai hubungan persaudaraan dan sahabat baik sesiapa? Seterusnya, rakyat mahu tahu benar atau tidak keruntuhan BBMB ini ada kaitannya dengan amalan KKN, iaitu korupsi, kronisme dan nepotisme di bawah pemerintahan Dr Mahathir selama 18 tahun ini?

Barisan Alternatif Lawan Kezaliman Pada 25 Ogos lalu, satu Malaysia dan juga dunia dapat melihat politik bentuk baru yang sihat dan positif telah ditunjukkan. Apabila Sdr Lim Guan Eng dibebaskan dari Penjara Kajang, Sdr Muhamad Sabu, seorang pemimpin penting PAS, turut kelihatan berada di sebelah Sdr Lim Guan Eng. Bendera PAS, DAP, KeADILan dan PRM kelihatan berkibaran mengalu-alukan pembebasan Lim Guan Eng.

Kenapa tanpa mengira kaum dan agama perjuangan Lim Guan Eng diberi sanjungan dan penghormatan? Jawapannya kerana Lim Guan Eng terpenjara kerana memperjuangkan nasib seorang anak gadis Melayu bawah umur yang dirogol oleh seorang pemimpin tertinggi UMNO. Isu utama ialah soal keadilan. Isu Keadilan menjangkaui batas perkauman dan agama yang sempit.

Begitu juga apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap, diseksa dalam tahanan dan kemudian dituduh dengan tuduhan aib yang direka-reka, kemudian dibicarakan oleh mahkamah yang tidak adil maka sebilangan besar rakyat yang menghargai keadilan, tidak kira Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, telah bangun menentang kekejaman dan kezaliman yang berlaku ke atas Sdr Anwar Ibrahim. Isunya ialah isu keadilan. Bukan kerana Anwar orang nombor dua dalam kerajaan, tetapi rakyat mahukan keadilan ditegakkan.

Kerana isu keadilan untuk semua 20 juta rakyat Malaysia, termasuk Anwar dan Lim Guan Eng yang dizalimi maka pada bulan September setahun lalu, dua buah pergerakan bersama, yang menggabungkan parti-parti politik dan NGO serta individu prihatin, telah ditubuhkan. Satu bernama Gagasan Demokrasi Rakyat (GAGASAN) dan satu lagi dipanggil Majlis Pergerakan Keadilan Rakyat atau GERAK.

Barisan Alternatif yang wujud sekarang adalah hasil dari jalinan kerjasama dan sefahaman oleh GAGASAN dan juga GERAK. Barisan Alternatif tidak wujud secara spontan dari ruang vakum. Dia wujud dari kenyataan konkrit dalam masyarakat yang mahukan perubahan bagi menegakkan keadilan.

Mahathir Amalkan Politik Rasuah Mengulas permintaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah supaya menggunakan pengaruhnya memujuk kerajaan Persekutuan melupuskan hutang kerajaan negeri Kelantan bernilai RM550 juta, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata:

"Senang saja, pilih Ku Li jadi Menteri Besar, kita akan buat apa saja untuk membantunya, tak perlu dia minta, kita akan tolong Kelantan." (Berita Harian, 8 September, melaporkan kenyataan Dr Mahathir Mohamad pada 7 September di Bandar Jengka, Pahang).

Pernyataan Dr Mahathir Mohamad ini boleh dilihat sebagai satu jenis rasuah. Beliau cuba mempengaruhi rakyat Kelantan supaya menyokong UMNO dan BN di Kelantan, yang sekarang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Jika ucapan itu dibuat semasa kempen pilihanraya, ia boleh dianggap satu kesalahan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya.

Hutang negeri Kelantan sebanyak RM550 juta itu merupakan hutang yang diwarisi oleh kerajaan PAS sekarang dari Kerajaan BN yang memerintah Kelantan dari tahun 1978 hingga 1990. Hutang yang bertimbun semasa pemerintahan kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO selama 12 tahun itu, terpaksa dipikul oleh kerajaan Kelantan sekarang yang diterajui oleh PAS.

Kenyataan Mahathir bahawa dia akan membantu Tengku Razaleigh jika rakyat Kelantan pilih BN dan tolak PAS menunjukkan kesewenangan Mahathir menggunakan wang negara untuk kepentingan politiknya dan juga politik BN. Mahathir sanggup lupuskan hutang setengah bilion itu jika BN berkuasa semula di Kelantan. Demikian maksud nada ucapan Mahathir. Macamlah wang RM550 juta itu wang BN, bukannya wang Perbendaharaan Negara kerajaan Persekutuan.

Tetapi jika PAS terus berkuasa, maka rakyat Kelantan akan terus didera. Banyak projek dapat kerajaan PAS Kelantan buat jika Kerajaan Persekutuan menimbang semula hutang itu.

Ini satu contoh Mahathir menggunakan politik pulas tangan. Dia marahkan PAS, maka rakyat Kelantan didera. Mahathir berlagak sebagai "big brother" atau kuasa "imperialis". Mahathir marah Amerika Syarikat menggunakan politik pulas tangan, menekan dan mengugut negara-negara kecil. Itu suara Mahathir di luar negara. Tetapi di dalam negeri, apa yang Mahathir kritik tentang perbuatan Amerika ke atas negara-negara kecil, perbuatan itulah yang Mahathir sendiri amalkan. Dalam hal ini, Mahathir seperti talam dua muka. Cakapnya tak serupa bikin. Sikapnya "double standard".

Sikap kerajaan Pusat seperti inilah yang akan membangkitkan kemarahan kerajaan-kerajaan di peringkat negeri atau wilayah. Mahathir mesti ingat, Kelantan adalah sebuah negeri dalam Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa dan hak-hak kerajaan negeri.

Kuasa Mahathir sebagai Perdana Menteri kerajaan Pusat bukannya mutlak. Kemarahan rakyat Aceh, rakyat Timor Timur dan rakyat Irian Jaya terhadap pemerintahan pusat di Jakarta berpunca daripada hal-hal seperti ini. Mahathir mesti hormati hak dan kepentingan rakyat Kelantan yang hampir dua juta orang itu. Bukan kepentingan Tengku Razaleigh Hamzah, Annuar Musa, Mustapha Mohamad dan Ibrahim Ali sahaja. Jangan amalkan politik pulas tangan sehingga nanti rakyat Kelantan marah kepada Kuala Lumpur pula!

Tamat


Last changed: September 13, 1999