[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

BADAN BEBAS PERLU UNTUK SIASAT DAKWAAN ANWAR, KATA MMA

Date: 14 Sep 1999
Time: 06:01:00
Remote User: -

Comments

BADAN BEBAS PERLU UNTUK SIASAT DAKWAAN ANWAR, KATA MMA

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyeru supaya satu badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami keracunan arsenik semasa di penjara.

Presiden MMA Dr P. Krishnan hari ini berkata, ia perlu disiasat oleh satu badan bebas bukan sahaja kerana dakwaan itu serius tetapi juga kerana adanya keraguan pada dakwaan itu sendiri.

Antara keraguan itu ialah bagaimana sampel air kencing itu boleh dibawa keluar daripada penjara, mengapa nama lain digunakan atas sampel itu serta bagaimana dan siapa bertanggungjawab menghantarnya ke luar negara, katanya.

"Agak luar biasa bagi sesuatu sampel untuk ditandakan dengan nama orang selain daripada pemiliknya," kata beliau di persidangan berita di ibu pejabat MMA di sini.

Dr Krishnan juga mempersoalkan masa isu itu dibangkitkan, khasnya semasa Persidangan Undang-undang Komanwel ke 12 sedang berlangsung dengan berkata ia boleh menjejaskan imej negara.

Beliau berkata, MMA sedia memberi sokongan penuh dalam siasatan terhadap dakwaan Anwar itu jika ia diminta berbuat demikian.

Isu keracunan arsenik dibangkitkan oleh peguam Anwar, Karpal Singh yang memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa keputusan sampel ujian air kencing yang dihantar ke Makmal Patalogi Gribbles di Melbourne, Australia, menunjukkan Anwar mengalami keracunan arsenik.

Dr Krishnan berkata, MMA juga telah memutuskan untuk bekerjasama dengan para profesional, kumpulan berkepentingan dan kerajaan untuk mengkaji keadaan di lokap-lokap polis dan penjara untuk memastikan mereka dalam tahanan polis dan banduan menerima layanan berperikemanusiaan dan penjagaan kesihatan yang perlu.

Sementara itu beliau berkata, MMA percaya yang taraf kesihatan Anwar adalah baik seperti yang dilaporkan oleh Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Datuk Dr Khalid Abdul Kadir.

Doktor-doktor di HUKM sudah pasti menjalankan pemeriksaan rapi terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu, katanya.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun kerana rasuah kini sedang dibicarakan kerana tuduhan meliwat bekas pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar. -- BERNAMA


Last changed: September 14, 1999