[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Reformis, pastikan nama anda tersenarai.

Date: 14 Sep 1999
Time: 06:04:11
Remote User: -

Comments

SEMAKAN DAFTAR PEMILIH SELAMA 14 HARI MULAI ESOK

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan Rang Daftar Pemilih 1999 di 4,360 tempat di seluruh negara selama 14 hari mulai esok.

Pengerusi SPR, Datuk Omar Mohd Hashim berkata warganegara Malaysia yang telah mendaftar sebagai pemilih boleh membuat semakan bagi menentukan sama ada nama, butiran keterangan diri dan tempat mengundi mereka disenaraikan dengan betul.

"Jika terdapat kesilapan, pemilih boleh memberitahu Pegawai Pendaftaran atau SPR supaya pembetulan sewajarnya dapat dibuat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan maklumat suara automatik Infoline SPR-Celcom, di sini hari ini.

Beliau berkata, Rang Daftar Pemilih yang akan dipamerkan sehingga 28 Sept itu mengandungi tiga senarai. Senarai A, mengandungi 9.7 juta nama pemilih yang telah mendaftar sehingga tahun 1998.

Senarai B mencatatkan 680,804 nama pendaftar baru dan 467,707 nama pemilih bertukar alamat yang telah membuat permohonan masing-masing sepanjang tempoh urusan pendaftaran 1999 pada 2 April hingga 13 Mei lepas.

Senarai C mengandungi nama pemilih yang akan dipotong dari Senarai A atas sebab kematian, pertukaran alamat, pergandaan dan hilang kelayakan.

Menurutnya, pemilih boleh menyemak ketiga-tiga senarai terbabit di Pejabat Daerah, Balai Penghulu, Balai Raya, Dewan Orang Ramai dan Pejabat Pilihan Raya Negeri atau menghubungi terus ibu pejabat SPR melalui talian 03-2938000 atau 03-2938400.

Beliau berkata pemilih yang ingin menyemak Senarai B sahaja, boleh membuat demikian menerusi perkhidmatan Infoline SPR-Celcom bernombor 600 85 2388 atau melalui laman web SPR, www.spr.gov.my.

Perkhidmatan Infoline SPR-Celcom akan beroperasi selama 14 hari mulai esok dan ia mengenakan caj RM1.95 seminit antara pukul 7 pagi dengan 7 malam dan 98 sen antara 7 malam dengan 7 pagi, katanya.

Omar berkata pameran itu juga memberi peluang kepada pemilih mengemukakan tuntutan dan bantahan jika mendapati nama mereka tidak disenaraikan walaupun sudah mendaftar atau jika pemilih tidak bersetuju nama mereka atau nama orang lain didaftarkan sebagai pemilih bagi mana-mana bahagian pilihan raya. "Borang-borang tuntutan dan bantahan boleh didapati dari pejabat Pegawai Pendaftaran atau pejabat Pegawai Pilihan Raya Negeri di seluruh negara," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan parti pembangkang bahawa ada penyokong Barisan Nasional yang memohon memindahkan kawasan mengundi mereka ke Kelantan dengan niat untuk menumbang kerajaan PAS di negeri itu, Omar berkata dakwaan itu tidak berasas kerana data SPR menunjukkan permohonan menukar alamat membabitkan semua negeri dan bukan semata-mata tertumpu di Kelantan. -- BERNAMA


Last changed: September 14, 1999