[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Mudah tapi makan masa....hairan, hairan.

Date: 14 Sep 1999
Time: 06:15:32
Remote User: -

Comments

SIASATAN KERACUNAN ANWAR JELAS DAN MUDAH, KATA NORIAN

MELAKA, 14 Sept (Bernama) -- Siasatan polis berhubung dakwaan yang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami keracunan arsenik adalah jelas dan mudah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai.

"Bagaimanapun siasatan itu akan mengambil sedikit masa kerana ia banyak bergantung kepada laporan doktor dan pakar," katanya pada persidangan berita selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Kontingen Polis Melaka, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis telah menjalankan siasatan mereka di bawah Seksyen 328 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan yang dibuat oleh isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak Jumaat lepas untuk pemeriksaan lanjut atas perintah hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ariffin Jaka.

Isu keracunan arsenik dibangkitkan oleh peguam Anwar, Karpal Singh yang memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa keputusan sampel ujian air kencing yang dihantar ke Makmal Patalogi Gribbles di Melbourne, Australia, menunjukkan Anwar mengalami keracunan arsenik.

Pengarah HUKM, Prof Datuk Dr Khalid Abdul Kadir dalam satu kenyataan ringkas semalam berkata satu panel pakar hospital itu sedang menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap Anwar dan keadaannya dilaporkan baik.

Norian berkata, polis juga telah mengambil langkah untuk menghantar sampel air kencing dan kemungkinan sampel rambut dan kuku Anwar untuk dianalisa oleh beberapa pihak di dalam negeri.

"Kemungkinan juga sampel itu di hantar ke luar negeri untuk dianalisa dan tindakan selanjutnya bergantung daripada hasil laporan daripada contoh yang dihantar," katanya.

Beliau berkata segala tindakan yang dilakukan polis berdasarkan siasatan biasa mengikut prosedur-prosedur siasatan di bawah Kanun Acara Jenayah.

Norian juga berkata, beliau tidak tahu pada ketika ini sama ada satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengkaji segala latar belakang mengenai keracunan Anwar.

"Asas penyiasatan kami semata-mata berdasarkan laporan Dr Wan Azizah," katanya.

Sementara itu, mengenai laporan akhbar hari ini bahawa Ketua Pemuda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd Nor mengaku bertanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf kerana insiden seorang pegawai polis diserang oleh sekumpulan penyokong Anwar di Pasar Seni, Sabtu lepas, Norian berkata sekiranya betul, ianya akan dimasukkan dalam laporan.

"Bagaimanapun, siasatan kes itu sebagai satu kesalahan jenayah akan diteruskan," katanya.

Beliau berkata, polis akan menghantar laporan itu kepada pendakwa raya dan mereka yang akan menentukan tindakan sepatutnya.

Dalam kejadian itu, Cif Inspektor Zaidy Haron dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi telah ditumbuk bertubi-tubi di muka dan kepala serta ditendang di perut sehingga terjatuh apabila beliau menghampiri kumpulan itu untuk menasihatkan mereka supaya tidak berarak. -- BERNAMA


Last changed: September 14, 1999