[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

[kini-malaysia] Kini Hari Salasa

Date: 14 Sep 1999
Time: 07:13:59
Remote User: -

Comments

[kini-malaysia] Kini Hari Salasa Add Addresses

Ekonomi Terus Bergantung Apakah yang dapat diambil kesimpulan dari apa yang berlaku di BSKL ini? Mengapa turun naik Indeks Komposit itu begitu penting kepada ekonomi negara? Mengapa urusniaga di BSKL itu begitu sensitif. Mengapa Indeks Komposit turun naik dan berubah tak menentu keadaannya?

Jawapannya ialah menumpu kepada satu perkara, iaitu ekonomi Malaysia masih lagi bersifat bergantung kepada dana asing dan pelaburan asing. Sifat ketergantungan ekonomi Malaysia kepada modal asing masih merupakan ciri utama ekonomi negara kita. Hal sebegini bukannya baik bagi sesebuah negara. Terutama negara yang kecil saiz ekonominya seperti Malaysia. Ego Mahathir mungkin tinggi. Tetapi keterbatasan kekuatan ekonomi Malaysia harus diakui secara objektif. Retorika politik bukan jawapan kepada permasalahan ekonomi yang Malaysia kini hadapi.

Memang tiada sesebuah negara boleh hidup bersendirian tanpa sebarang hubungan ekonomi dengan negara-negara lain. Sekarang zaman globalisasi. Tidak boleh ada negara yang boleh hidup sebagai sebuah pulau, bersendirian dan tertutup saja sifat ekonominya. Namun begitu, mewujudkan sebuah ekonomi nasional yang kukuh dan tidak terlalu

bergantung kepada modal asing, terutama dalam bentuk pelaburan portfolio di bursa saham, sepatutnya menjadi agenda utama mana-mana kerajaan yang memerintah.

Di sinilah, kelemahan dan kegagalan dasar ekonomi Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Daim Zainuddin selaku Menteri Kewangannya. Apabila Mahathir membawa Daim menjadi Menteri Kewangan dalam Kabinet pada tahun 1984 dulu, Daim seorang tokoh korporat yang diketahui umum berminat terhadap beberapa kaunter di BSKL telah mengambil satu pendekatan yang amat liberal dengan membuka seluas-luasnya BSKL kepada pelaburan portfolio pelabur asing dari luar.

Ketika ekonomi Malaysia yang bertumbuh lebih 8 % selama 10 tahun itu, maka kelonggaran atau liberalisasi pelaburan itu telah digunakan sepenuh-penuhnya oleh

pelabur-pelabur asing itu untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin dan secepat mungkin dengan melabur di BSKL. Negara-negara lain di kebanyakan tempat tidak begitu terdedah seperti Malaysia.

BSKL: Kasino Negara Akibat dari dasar liberalisasi yang keterlaluan ini ialah jumlah urusniaga di BSKL menjadi begitu besar dan nilai saham bagi sesuatu syarikat itu menjadi sedemikian tinggi sehingga tak menggambarkan kedudukan dan prestasi sebenar syarikat tersebut. Mengapa itu berlaku?

Pertama kerana pemain utama yang banyak dana di BSKL ialah pelabur-pelabur asing dari luar. Sebab kedua ialah kerana BSKL pada akhir 1980-an dan awal 1990-an telah bertukar menjadi semacam kasino, di mana orang berjudi dalam pasaran saham.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap Kerajaan Mahathir yang mengambil pendekatan liberalisasi dan deregulasi yang keterlaluan pada waktu itu yang berjalan serentak dengan dasar penswastaan. Kaunter-kaunter saham yang menarik minat pelabur asing di BSKL ialah kaunter bagi syarikat-syarikat besar yang terlibat dengan projek-projek penswastaan yang bernilai berbilion ringgit. Kaunter-kaunter itu dikenalpasti

dikuasai oleh kroni-kroni yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin dan UMNO.

Dr Mahathir pula dibuai mimpinya bahawa ekonomi Malaysia berada di tapak yang kukuh dan pertumbuhan ekonomi akan berterusan dan pelabur asing akan tetap yakin melabur di Malaysia. Kalau Mahathir tidak bermimpi demikian, mana mungkin dia boleh mengeluarkan cadangan supaya dibina jambatan menghubungi Semenanjung dengan Sumatera dan satu lagi ‘jambatan darat’ dari Semenanjung ke Selatan Thai?

Tetapi mimpi indah Mahathir itu akhirnya dikejutkan apabila krisis ekonomi melanda Asia Timur mulai Julai 1997, bermula dengan kejatuhan nilah matawang Thailand, iaitu Bhat. Sebelum itu, Mahathir masih yakin bahawa krisis ekonomi yang melanda Mexico sebelum itu tidak akan berlaku di Malaysia. Tetapi apabila virus kegawatan ekonomi sudah sampai ke negera jiran Malaysia, jangkaan Mahathir ternyata silap.

Ekonomi Malaysia juga runtuh. Indeks Komposit BSKL, yang pernah mencecah lebih 1200 mata, tiba-tiba jatuh hingga ke paras di bawah 300 mata. Semuanya berlaku seperti dalam sekelip mata. Kerajaan Mahathir pada minggu-minggu awalnya kelihatan panik dan tidak boleh berbuat apa-apa. Sama halnya seperti Inggeris dalam Perang Dunia Kedua dulu, kelam kabut apabila Jepun menyerang Malaya dari Pantai Timur dengan tiba-tiba.

Warisan Mahathir Mahathir sebenarnya sudah sampai ke penghujung zaman pemerintahannya. Tiada apa tinggalan dasar ekonominya yang dapat dibanggakan untuk diwarisi oleh pemimpin berikutnya. Selama 18 tahun, Mahathir memerintah dan sebahagian besarnya dengan Daim menjadi Menteri Kewangan, ekonomi Malaysia ternyata begitu terdedah kepada modal asing, terutama pelaburan jangka pendek di pasaran saham.

Jenis pelaburan seperti ini memang boleh menaikkan dagangan di BSKL. Yang mendapat untung ialah golongan-golongan pelabur tertentu terutama kroni-kroni Mahathir dan Daim sendiri yang menguasai kaunter-kaunter di BSKL. Mereka ini akan menjadi kaya dan jutawan segera. Wang keuntungan didermakan kepada UMNO dan BN untuk belanja pilihanraya.

Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan pemimpin tertinggi kerajaan menguasai kekayaan melalui nominee-nominee masing-masing yang menjadi pemain di BSKL. Dengan mudah saja, wang diperolehi apabila berlaku kenaikan nilai-nilai saham sebab kemasukan banyak modal asing tanpa kawalan ke BSKL. Ini semacam kasino juga. Ini berlaku sehingga “Sudah Terantuk Baru Terngadah”.

Hanya pada 1 September 1998, barulah kawalan modal dikuatkuasakan. Begitu mengejut dan drastik sehingga semua pihak terkejut. Sebelum ini, semuanya longgar. Tetapi kawalan modal tidak boleh dilakukan sewenang-wenang. Ia terpaksa dibuat secara berpilih-pilih. Tempoh kawalan setahun tamat semalam, 1 September 1999.

Sekarang lebih 20 juta rakyat Malaysia terpaksa hadapi masalah yang Mahathir dan Daim berdua ciptakan selama ini. “Kalau untung sabut, timbul. Kalau untung batu, tenggelam!”

Tamat

Untuk menyertai senarai kami, sila hantar mesag kosong ke:

kini-malaysia-subscribe@egroups.com

the-malaysian-subscribe@egroups.com

Sila lawat laman kami di:

http://kini.webjump.com/

http://berita.webjump.com/

Para penerima diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini, terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.

Terima kasih atas kerjasama anda.

Pink Panther


Last changed: September 14, 1999