[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Hidup Fernando

Date: 14 Sep 1999
Time: 08:34:00
Remote User: -

Comments

"AMARAN AMERIKA" PATUT DITERIMAPAKAI OLEH MALAYSIA

PETALING JAYA, 14 Sept (Bernama) -- "Amaran Amerika" atau Hak Untuk Berdiam Diri, patut diterimapakai di Malaysia dan negara-negara Komanwel demi kepentingan kebebasan asas, hak asasi manusia dan andaian tidak bersalah, seorang peguam Malaysia mencadangankan hari ini.

Christopher Fernando berkata andaian tidak bersalah akan menjadi tidak bermakna tanpa hak berkesan untuk berdiam diri dalam keadaan selamat dan diberi perlindungan.

"Soalan berkaitan yang hendak ditanya pada peringkat ini ialah jika pilihan untuk berdiam diri oleh orang tertuduh kini memberi sedikit keterangan menentang dirinya sendiri, bolehkah ini mendatangkan kesan ke atas sistem adversarial dan prinsip asas bahawa bebanan untuk pembuktian terletak di atas bahu pendakwaan?

"Bagi saya, ia sudah tentu. Peraturan undang-undang yang membenarkan kesimpulan bersalah dibuat daripada perbuatan berdiam diri tertuduh dan andaian tidak bersalah seharusnya dan lojiknya serasi," katanya ketika membentangkan kertas kerja mengenai "Hak Berdiam Diri: Perkembangan Baru" pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-12 di sini hari ini.

Amaran Amerika itu menyatakan: Anda berhak untuk berdiam diri. Apa-apa yang anda katakan boleh dan akan digunakan terhadap anda. Anda berhak melantik peguam sebelum disoal siasat dan meminta beliau hadir semasa anda disoal siasat dan jika anda tidak mampu melantik peguam, seorang peguam akan disediakan bagi anda sebelum sebarang soal siasat, jika anda mahu.

Fernando berkata tidak dapat disangkal lagi bahawa sabitan lebih mudah didapati apabila keadaan berdiam diri tertuduh diambil kira untuk pertimbangkan.

Beliau berkata hak untuk berdiam diri seperti yang diperuntukkan di bawah Pindaan Kelima Perlembagaan Amerika Syarikat, telah lama diterima sebagai "satu daripada mercu tanda dalam perjuangan manusia untuk menjadikan dirinya bertamadun.

"Ini ialah satu lagi gambaran bahawa hak untuk berdiam diri adalah elemen penting daripada kebebasan individu," katanya.

Fernando yang merupakan salah seorang peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hak untuk berdiam diri di Malaysia tertakluk kepada Seksyen 113 Kanun Acara Jenayah.

"Walaupun ada hak-hak perlembagaan untuk mendapat peguam semasa ditahan, ia terpulang kepada budi bicara pihak penyiasat untuk menentukan bila masanya seseorang yang dituduh dibenarkan mendapat peguam," katanya.

Menurutnya amalan biasa yang membenarkan mereka mendapat peguam hanyalah selepas pengakuan dibuat atau apabila penyiasatan siap.

"Sistem sedia ada mempunyai bahayanya dan jelas tidak adil kepada seseorang yang dituduh melakukan jenayah terutama mereka yang tidak bersalah.

Fernando kemudiannya mencadangkan supaya undang-undang dipinda bagi memasukkan peruntukan bagi membolehkan seseorang yang dituduh mendapatkan khidmat peguam sebaik sahaja ditangkap atau pada bila-bila masa sebelum kenyataan dan pengakuannya direkodkan.

-- BERNAMA


Last changed: September 14, 1999