[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI (18.8.99)

Date: 18 Aug 1999
Time: 19:55:46
Remote User: -

Comments

KINI demi keadilan, kemajuan, perpaduan Isu No. 13 - 18 Ogos 1999

Larangan Melawat Laman Web: JPA Ketinggalan Zaman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan arahan melarang kakitangan kerajaan menggunakan internet untuk melawat laman-laman web yang menentang kerajaan. Beberapa perkara harus dijelaskan di sini. Menentang BN dengan menentang kerajaan adalah dua perkara yang berbeza. Pihak JPA harus faham bahawa apa itu kerajaan? Kerajaan bukan bermaksud Dr Mahathir, Menteri-Menteri, Kementerian-Kementerian, Polis dan Jabatan-Jabatan. Itu hanya sebahagian saja. Institusi yang dipanggil kerajaan di Malaysia ini terdiri daripada tiga badan yang berasingan. Pertama badan Perundangan (Legislature) iaitu Parlimen. Kedua, badan Eksekutif, iaitu Kabinet dan Perkhidmatan Awam, di bawah jagaannya. Ketiga ialah badan Kehakiman, iaitu mahkamah dan hakim-hakim. Ketiga-tiga badan itu ada bidang kuasa masing-masing. Kesemuanya berfungsi untuk sebuah kerajaan yang ketua kerajaannya ialah Yang Dipertuan Agung. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Dr Mahathir bukan ketua negara. Beliau hanya ketua kerajaan atau eksekutif.

Rakyat Menentang Mahathir, Bukan Menentang Malaysia Kebangkitan rakyat sekarang ialah menentang Dr Mahathir dan UMNO serta BN pimpinannya. Rakyat yang tidak sukakan Mahathir dan BN bukan bermakna mereka menentang negara Malaysia. Mereka hanya tak suka parti Barisan Nasional, atau pun pemimpinnya, Dr Mahathir. Itu saja. Turut ramai menentang Mahathir dan BN ialah kakitangan awam itu sendiri, termasuk guru sekolah, penuntut dan pensyarah di IPT.

Kalau BN/Mahathir Diganti, Perkhidmatan Awam Terus Kekal Perkhidmatan Awam (Civil Service) adalah satu institusi yang sepatutnya berkecuali atau neutral dari politik kepartian. Tetapi kakitangan awam dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menyokong dan menjadi ahli mana-mana parti politik. Jika BN kalah dalam pilihanraya umum nanti, Perkhidmatan Awam, dengan anggotanya lebih 800,000 orang itu, akan terus kekal untuk menjalankan pentadbiran awam negara. Kakitangannya tidak akan hilang jawatan. Malah, barangkali, pengaruh mereka akan bertambah kerana pemimpin BN sedang bermaharajalela, tanpa menghiraukan kakitangan kerajaan yang lebih berpengalaman dan tidak berkepentingan. Yang akan ditukar nanti hanyalah pemimpin politik BN. Pilihanraya umum akan datang ini adalah untuk memilih 192 orang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Yang akan hilang jawatan mungkin Dr Mahathir, Daim Zainuddin dan Ibrahim Ali (kerana tak dapat melompat sekali lagi).

Kerajaan Perpaduan Nasional Dan kalau pihak pembangkang berjaya menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan unsur yang baik daripada pihak BN, seperti diharapkan pemimpin Alternatif, sudah pasti bahawa Kerajaan paling baik, yang terdiri dari semua pemimpin yang baik, sama ada dari BN atau pun pembangkang sekarang, akan dapat diwujudkan. Katakanlah Kerajaan Alternatif dibentuk, maka Perkhidmatan Awam akan mendapat pemimpin-pemimpin politik yang baru untuk mengetuai kementerian-kementerian. Jemaah Menteri tentulah dianggotai dengan muka-muka baru. Perdana Menteri tentulah muka baru. Begitu juga menteri-menteri lainnya. Setengah dasar-dasar negara akan turut bertukar. Dasar-dasar yang baik akan dikekalkan. Tetapi dasar-dasar tertentu, seperti penswastaan, akan dikaji semula. Mana-mana yang menindas dan membebankan rakyat akan dihapuskan.

JPA Hendakkan Katak Di Bawah Tempurung Jadi ugutan dan ancaman pihak JPA ke atas kakitangannya yang melawat laman-laman web yang kritikal terhadap BN dan Dr Mahathir adalah satu langkah menyekat kebebasan rakyat, khusunya kakitangan awam itu sendiri, untuk mendapatkan maklumat terkini akan apa yang berlaku dalam negara ini. Apa gunanya projek mega dan canggih MSC yang berasaskan konsep falsafah ‘langit terbuka’ dan globalisasi sekiranya JPA masih takut kakitangan awam menggunakan internet untuk melihat apa yang ada di langit terbuka? Rakyat tidak mahu lagi hidup seperti “katak di bawah tempurung”.

Azizan, Arifin Jaka Dan Jenaka Sekali lagi, Azizan Abu Bakar memberi keterangan yang bercanggah. Semasa perbicaraan pertama Dato' Seri Anwar Ibrahim, dia mengaku dakwaan Anwar meliwatnya adalah palsu setelah ditanya beberapa kali oleh peguambela dan penterjemah mahkamah. Sehari selepas itu, dia menarik balik penafian itu dengan berkata dia terkeliru ketika disoal peguambela. Pada perbicaraan kali ini, dia sekali lagi menunjukkan kelakuan yang sama. Minggu lepas, dia telah menyatakan bahawa polis yang menyuruhnya menukar tarikh peristiwa liwat ke tahun 1994. Tetapi pada Isnin, 16 Ogos, dia berkata pula dia yang melaporkan demikian kepada polis. Hakim Ariffin Jaka sendiri menyatakan bahawa keterangan Azizan bercanggah dan nampaknya, dia seorang yang tidak cerdik. Dalam keadaan biasa, keterangan begini sudah tentu akan ditolak mahkamah. Saksi akan dianggap tidak boleh dipercayai. Walau pun peguambela Anwar berkali-kali cuba memecat Azizan sebagai saksi, mereka terus gagal. Mustahil, Hakim Arifin Jaka akan membenarkan usul peguambela supaya Azizan dipecat dari menjadi saksi. Ini kerana tanpa keterangan Azizan, pihak pendakwa langsung tidak mempunyai kes. Dan pihak pendakwa tidak mempunyai sebarang bukti lain kecuali "pengakuan Sukma" yang telah dipaksakan daripada seorang yang disiksa. Kita juga dapat menjangka bahawa Arifin Jaka akan menerima hujah pendakwaraya, dan usul memecat Azizan sebagai saksi akan ditolak. Sekiranya perbicaraan Anwar di bawah Augustine Paul menunjukkan bahawa keadilan telah menjadi tidak relevan, perbicaraan Anwar di bawah Arifin Jaka menunjukkan ini hanya satu jenaka. Inilah martabat mahkamah di mata rakyat hari ini.

Tamat

Sila lawat laman kami di: http:// kini.webjump.com/

Para penerima diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini, terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.

Terima kasih atas kerjasama anda.


Last changed: August 18, 1999